Skip to main content

Ciri-ciri Remaja Yang Berkualiti

Ciri-ciri Remaja Yang Berkualiti


Setelah 60 tahun kita menghela nafas kemerdekaan, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, "Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini." Soekarno pernah mengungkap,"Berikan saya sepuluh belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia." Pendapat tokoh-tokoh dunia itu jelas membuktikan kepada kita tentang betapa pentingnya golongan remaja untuk memajukan persada yang tercantik ini. Namun, barang kali kita berasa sedih dan kecewa apabila melihat segelintir generasi muda yang masih dibelenggu oleh gejala sosial yang meranapkan masa hadapan diri mereka serta negara kita. Oleh itu, kita sebagai pemangkin dan tulang belakang negara ini wajar memahami ciri-ciri remaja yang berkualiti dan berusaha untuk menjadi seorang insan yang berketerampilan pada masa akan datang. Nyatanya, remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berkualiti?

          Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecermelangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas malah juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana seperti membaca buku dan melayari lebuh raya maklumat di dunia maya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu, remaja tidak boleh terbuai dalam dunia yang mengalpakan,iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa,"Ikut hati mati,ikut rasa binasa."Jadi,remaja yang berkualiti patut mempunyai intelek yang mantap dan cemerlang dalam akademik.

          Pada masa yang sama, remaja juga perlu memiliki kesihatan fizikal dan mental di samping kecermelangan akademik untuk menjamin kejayaan dalam kehidupan. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja perlu mempunyai kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa berputus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja negara maju. Demi mencapai tahap tersebut, remaja patut mengamalkan pemakanan yang seimbang, menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling, bersenam, bersukan dan tidak terlibat dalam angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat dan najis dadah. Melalui ini, remaja dapat mewujudkan gaya hidup yang sihat dan sempurna untuk menjalankan kehidupan yang berkualiti. Oleh itu, jelaslah bahawa remaja perlu menjaga kesihatan diri sendiri dari segi mental dan fizikal untuk menjadi remaja yang berkualiti.

          Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Peribahasa ada mengatakan bahawa hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Slogan negara kita juga menunjukkan bahawa rakyat sihat, negara maju. Remaja yang sihat dan kuat baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Selain itu, remaja yang berkualiti juga harus memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja harus disuntikkan ajaran agama dan nilai murni sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantarannya, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang signifikan untuk mendidik remaja sebagai insan yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang kedangkalan keimanan akan mencetuskan kebejatan sosial. Jadi, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah dan berbudi bahasa serta berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinat dan madani pada suatu hari nanti.

          Remaja yang berkualiti perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusui dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak. Oleh itu, ternyatalah bahawa remaja yang berkualiti merupakan generasi yang berkreatif dan berinovatif.

          Berdasarkan huraian-huraian tersebut tentang ciri-ciri remaja yang berkualiti, jelaslah bahawa remaja merupakan individu yang amat penting dalam komuniti kita. Semua lapisan masyarakat hari ini perlu menyedari realiti bahawa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial dan sebaliknya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama diri, keluarga dan nusa yang tercinta ini. Hanya remaja yang berkualiti akan membangkitkan kecemerlangan negara pada masa akan datang. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya berada awang-awangan dan tidak dapat menjadi realiti. Sebagai kesimpulannya, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menjurus ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benefits of Friendship

Benefits of friendship Having friends is much more important for life than just to provide a fun person to spend time with. Research shows that making and fostering healthy relationships can benefit you in physical, mental and social ways. Making friends isn’t always easy, but pays off in dividends throughout your life by keeping you well and happy. Consider what having friends can do for you as you live your way in life.           One of the top benefits of having healthy relationships is that your physical health improves. Having someone to lean on when things get difficult can help ease your stress. Talking things over with a trusted friend can help your mood improve and induce relaxation, which can reduce the risk of a variety of health issues from heart disease to obesity. Research shows that having close friends also reduces your risk of certain types of cancer, including ovarian and breast cancer. In addition, friends also encourage you to take...

Kepentingan Mengamalkan Perpaduan Kaum Dalam Kalangan Masyarakat

Kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang maju menjelang Transformasi National 2050. Persoalan yang berputar dalam kotak minda kita ialah apakah kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat?           Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik an...