Skip to main content

Kepentingan Mengamalkan Perpaduan Kaum Dalam Kalangan Masyarakat

Kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang maju menjelang Transformasi National 2050. Persoalan yang berputar dalam kotak minda kita ialah apakah kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat?

          Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum. Sebagai contoh, pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak menyumbang ke arah perpaduan kaum.  Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah Kebangsaan(SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana  perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan.

          Ramai pelancong dari luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat dan kesenian dapat ditonjolkan kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.

          Perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2050 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus  menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini  berani menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.

          Perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa  negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di  Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.

          Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk menjadi negara maju dapat direalisasikan.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ciri-ciri Remaja Yang Berkualiti

Ciri-ciri Remaja Yang Berkualiti Setelah 60 tahun kita menghela nafas kemerdekaan, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, "Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini." Soekarno pernah mengungkap,"Berikan saya sepuluh belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia." Pendapat tokoh-tokoh dunia itu jelas membuktikan kepada kita tentang betapa pentingnya golongan remaja untuk memajukan persada yang tercantik ini. Namun, barang kali kita berasa sedih dan kecewa apabila melihat segelintir generasi muda yang masih dibelenggu oleh gejala sosial yang meranapkan masa hadapan diri mereka serta negara kita. Oleh itu, kita sebagai pemangkin dan tulang belakang negara ini wajar memahami ciri-ciri remaja yang berkualiti dan berusaha u...

Benefits of Friendship

Benefits of friendship Having friends is much more important for life than just to provide a fun person to spend time with. Research shows that making and fostering healthy relationships can benefit you in physical, mental and social ways. Making friends isn’t always easy, but pays off in dividends throughout your life by keeping you well and happy. Consider what having friends can do for you as you live your way in life.           One of the top benefits of having healthy relationships is that your physical health improves. Having someone to lean on when things get difficult can help ease your stress. Talking things over with a trusted friend can help your mood improve and induce relaxation, which can reduce the risk of a variety of health issues from heart disease to obesity. Research shows that having close friends also reduces your risk of certain types of cancer, including ovarian and breast cancer. In addition, friends also encourage you to take...